Khamis, 9 Disember 2010

JANGAN TERCEKIK DENGAN DURI DALAM DAGING

Assalaamualaikum...lama kita tak jumpa ya...
Miz Scarlet baru balik dari bercuti..
Lama gak tinggalkan KL..teringin pulak merasa daging masak cara orang putih kat Outback Steakhouse Bangsar. Sengaja Miz Scarlet lepak sengsorang, kang kalau contact Datin Anne Serbatau, kecoh pulak satu Bangsar ni..maklum la dah lama tak jumpa..
Sambil menghiris daging steak tu Miz Scarlet teringat rencana dalam Sinar Harian yang Miz Scarlet baca pagi tadi...lebih kurang ginilah ceritanya.....



“Walau apa pun anutan kepercayaan kita, taraf sosioekonomi dan di mana sekalipun berada, kita tetap teguh berpadu di bawah payung 1 Malaysia”, ucapan bersemangat tinggi Datuk Seri Najib dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) Ahad lalu, berakhir dengan memberikan gambaran bahawa suatu persefahaman dan kesepakatan telah tercapai untuk perpaduan bagi mempertahankan Putrajaya.

Sayangnya selepas sahaja konvensyen itu, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek telah mengacau dan mengelirukan semua gambaran jelas, indah dan gagah yang telah dibangunkan Najib semasa berucap merasmikan konvensyen itu.
Soi Lek mengisytiharkan tidak lagi mahu amalan memberikan gambaran bahawa UMNO berada pada suatu taraf kepimpinan lebih tinggi dari parti-parti lain diteruskan.
Beliau menyatakan bahawa sebarang keputusan berhubung dengan dasar tidak seharusnya diumumkan di Persidangan Agung UMNO atau pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang tidak berada pada taraf Kabinet.
Maknanya, Presiden MCA itu juga tidak senang Presiden UMNO yang merasmikan konvensyen BN kerana ia juga menggambarkan status lebih tinggi.
Penentangan ini begitu terbuka menunjukkan Soi Lek tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami ucapan Najib, sebaliknya mahu menunjukkan keegoan MCA untuk tetap dengan pendirian baru bagi memulihkan sokongan masyarakat Cina dengan meminjam formula DAP, iaitu memperjuangkan persamaan hak.
Apabila tuntutan ini datang daripada anggota komponen BN sendiri, tentulah anggapan umum bahawa BN selama ini menafikan hak kaum kaum lain, yang mana ianya selari dengan fahaman masyarakat Cina kini. MCA tidak lagi yakin untuk tegak atas pendirian bebasnya dengan mempertahankan prinsip-prinsip yang selama ini membolehkannya bekerjasama dengan UMNO dan bersama menjadi tulang belakang kepada BN.
Ketika prasangka antara sesama sendiri mahu dikikis, Presiden MCA itu berasa perlu untuk menyatakan prinsip baru mereka iaitu kesamarataan.  “Walaupun tidak dirujukkan kepada UMNO, tetapi fahaman orang Cina, UMNO lah Abang Besar.
Ini menunjukkan beliau menentang keras kepimpinan UMNO dalam Barisan Nasional dan UMNO tidak seharusnya dilihat selamanya sebagai parti yang lebih penting dari parti-parti lain dalam komponen BN. Orang UMNO tidak wajar terus menjadi Pengerusi BN.
Persepsi umum bahawa UMNO berada pada status yang lebih tinggi dari parti-parti lain komponen BN telah terbentuk oleh proses sejarah politik dan sosial negara ini sejak sebelum merdeka yang tidak mungkin dihapuskan dalam masa singkat, sebaliknya akan terus dipertahankan oleh majoriti rakyat kerana ia telah menjadi asas kepada kemerdekaan negara.
Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan: “Apabila kita berjuang menentang Malayan Union, pihak lain tidak menyertainya kerana mereka anggap ini hanya masalah orang Melayu dan mereka juga menunjukkan kesetiaan kepada negara asal mereka”  
Soi Lek sebagai pemimpin parti yang bersama mengukir sejarah kemerdekaan nampaknya lebih cenderung menghayati dan mewarisi semangat parti kiri. Kenyataan Soi Lek itu benar-benar bertentangan dengan sifat-sifat yang mahu dikikis oleh Najib dalam ucapannya; iaitu khayal, lupa diri, jumud dan angkuh.
Soi Lek hanya memikirkan tentang perlunya untuk menawan perasaan orang Cina, tetapi langsung tidak mempedulikan perasaan orang Melayu yang telah banyak tersinggung dengan sikap parti-parti komponen BN, terutamanya MCA dan Gerakan hendak memakai baju DAP.

Telah berkali-kali Najib menyeru agar masalah sensitif dirungkai bersama tanpa bising di luar dan tidak secara terbuka dan ini telah dipersetujui bersama, tetapi Soi Lek tidak menghormati persetujuan itu, sebaliknya berasa perlu untuk mencemarkannya. Terbaru ialah dalam keadaan keharmonian hendak mula berkembang.
Bila MCA menimbulkan soal persamaan hak di negara ini, maka rakyat khususnya kaum Cina semakin percaya terhadap wujudnya ketidakadilan dalam perkongsian ekonomi negara kerana MCA adalah parti yang berkongsi kuasa dengan pemerintah.
DAP sendiri membuktikan dasar persamaan hak dalam kepimpinan tidak mungkin dicapai, sebaliknya lebih bersifat retorik indah. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam DAP Perak yang majoriti ahlinya Cina. Orang India dipinggirkan dalam pemilihan kepimpinan peringkat negeri parti itu di Perak baru baru ini.
Soi Lek lebih memahami dasar dan formula DAP untuk masa depan negara. Maka itu beliau dalam keadaan sedar atau tidak akan terus menimbulkan prasangka buruk orang Cina terhadap UMNO.
Soi Lek tidak memahami ungkapan Najib bahawa “Kita telah memilih jalan yang wajar dengan mengaplikasikan kaedah integrasi di mana perbezaan unik digabungkan dalam sebuah keluarga besar, saling mengukuh dan menyokong bukannya untuk memusnahkan identiti mana mana bangsa”.
Jelaslah kita lihat matlamat konvensyen BN telah dikacau dan diselewengkan pihak yang kita anggap selama ini sebagai ‘housemate’ kita sendiri.
Sukar untuk Najib mencabut duri dalam daging. 

        

1 ulasan:

  1. Dia ni selalu menentang arus... bijaknya dia bila tahu BN perlukan undi cina.

    berburu di padang datar,
    dapat rusa berbelang di kaki,
    chua soi lek tak boleh diajar,
    mengapa perlu UMNO yang mati???

    BalasPadam